Tuesday, August 28, 2012

Peringkat Saringan dan Penghantaran Senikata

Salam sejahera buat semua.

Di sini pihak Gabungan ingin memaklumkan beberapa perkara bersangkutan dengan Mega Perdana 2012.

Tarikh Pertandingan Mega Perdana 2012 

Peringkat saringan Mega Perdana 2012 akan diadakan pada 30/9/2012.
Pertandingan akan bertempat di Kelab Masyarakat Jurong Green.
Pertandingan akan bermula pada jam 4 petang. Tiket-tiket berharga $12 boleh didapati di
Kelab Masyarakat Kampung Ubi pada hari Sabtu ini dari jam 8 malam.


Peringkat separuh akhir Mega Perdana 2012 akan diadakan pada 28 Oktober 2012.
Pertandingan akan bertempat di Kelab Masyarakat Potong Pasir.
Pertandingan akan bermula pada jam 1 tengah hari. Tiket-tiket berharga $12 boleh didapati pada tarikh yang akan ditentukan kelak.



Peringkat akhir Mega Perdana 2012 akan diadakan pada 29 Disember 2012.
Pertandingan akan bertempat di auditorium Teater Kallang.
Pertandingan akan bermula pada jam 6 petang. Tiket-tiket berharga $27 boleh didapati pada tarikh yang akan ditentukan kelak.


Nota:
Waktu untuk setiap kumpulan melaporkan diri pada hari pertandingan akan diumumkan selepas mendapat kepastian jumlah kumpulan yang bakal bertanding kelak.


Penghantaran Senikata Bagi Kumpulan Lelaki dan Kumpulan Wanita

Setiap kumpulan yang bertanding diminta menghantar enam salinan senikata. Penghantaran tersebut perlu dilakukan di Bilik Gabungan yang bertempat di Kelab Masyarakat Kampung Ubi pada 1 September 2012, dari jam 8 malam - 10 malam. Senikata yang dihantar selepas jam 10 malam akan dipotong 10 markah daripada jumlah markah keseluruhan peringkat yang berkenaan.


Setiap kumpulan diminta juga membawa:

a) Baki wang pendaftaran
b) Wang tiket yang wajib dibeli oleh para peserta peringkat saringan - 20 x $12 bagi setiap kumpulan ($240)


Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi Sdr Faizal di talian 91290306, atau Sdr Djohan di talian 90408528.


Semoga kita dapat bekerjasama demi kejayaan Mega Perdana 2012.



Yang menjalankan tugas,
Djohan A Rahman





Saturday, August 11, 2012

Peringkat Saringan Mega Perdana 2012

Majlis taklimat telahpun selamat dijalankan tadi di Kelab Masyarakat Tampines Central dari jam 3 petang hingga 5.15 petang.

Tema bagi peringkat saringan yang akan menampakkan persembahan daripada kumpulan-kumpulan lelaki sahaja ialah 'Biar Mati Anak, Jangan Mati Adat'.


Berikut merupakan urutan persembahan berdasarkan cabutan undi yang dijalankan tadi.


1. Keris
2. Panjy
3. Fantasia
4. Durbar Dua
5. Andika
6. Neng Nyno
7. Andika Kencana
8. Dendang Mutiara
9. ChuchuDato'Merah
10. Si Anak Seni
11. Kelana Purba
12. Wulan
13. Putera Dewa



Lokasi dan waktu laporan peringkat saringan akan dimaklumkan kelak.


Nota:
A) Berikut merupakan urutan persembahan bagi kategori wanita pula.


1. Dang Anom
2. Srikandi Tiara Widjaya
3. Wahana Deksu
4. Dania Aniqah
5. Endang
6. Dwi Durrah
7. Semarak Tun Teja
8. Chinta

B) Kelab Masyarakat Potong Pasir akan menganjurkan sebuah pertandingan dikir barat khusus untuk kumpulan-kumpulan dikir barat yang tidak berjaya melangkahkan diri ke peringkat akhir Mega Perdana 2012. Pertandingan akan dijalankan pada 2 Disember 2012. Butir-butirnya akan diumumkan kelak.


yang menjalankan tugas,
Djohan A Rahman


  
                                  seni untuk semua





Wednesday, August 1, 2012

Salam sejahtera buat semua,

Sekali lagi siri Mega Perdana hadir dengan membawa sejuta kenangan serta harapan.

Pada tahun 2012, Mega Perdana akan terbahagi kepada dua kategori - Lelaki dan Wanita.

Majlis taklimat akan diadakan pada 11 Ogos 2012, pada jam 3 petang. Lokasi majlis taklimat akan diumumkan kelak.


yang menjalankan tugas,
Djohan A Rahman


    Seni Untuk Semua

Tuesday, May 11, 2010

Senikata - Penghasilan Karya Kreatif

(Perkongsian ini masih dianggap relevan, maka ia akan terus disiarkan buat tatapan umum)


Sebagaimana yang telah diperkatakan sewaktu majlis taklimat dahulu, di sini saya utarakan beberapa saranan demi kemaslahatan para penulis senikata Mega Perdana 2010 khususnya, dan untuk sesiapa sahaja amnya.


Pra Penulisan - Pencernaan Daya Imaginasi

Nampak sahaja teknikal. Tapi secara dasarnya, subtajuk ini membawa maksud pengupasan tema. Tema yang diberi seringkali ingin dikupas dengan harapan ia berbeza dengan kumpulan lain, di samping mengetengahkan sesuatu yang unik dan menarik, sekali gus mencabar minda pengadil dan penonton.

Maklum sahaja, sekiranya ramai yang menjurus pada satu arah, tetapi terdapat sekumpulan yang mengetengahkan isu yang serupa namun berbeza sudut pandangnya, ia menampakkan daya pemikiran yang kreatif lagi kritikal.

Misalnya, tema di peringkat saringan, biarpun ramai yang menyentuh tentang isu kekeluargaan, kumpulan Yenbo Je telah menghubungkaitkan konsep permainan Happy Family dalam kupasannya - sesuatu yang tidak dilakukan kumpulan-kumpulan lain. Begitu juga pembebasan dari kurungan kecil ke dunia yang lebih meluas (thumb drive) yang dihasilkan kumpulan Kelana Purba di peringkat separuh akhir.


Ada juga dimasukkan elemen pembebasan dari zaman penjajahan, secara tidak langsung; cogan kata Perang Dunia Kedua oleh Jepun (Asia untuk Asia). Sama ada dilakukan secara sedar atau tidak, itu yang kelihatan dan diterima oleh panel juri.

Kupasan penting agar naskhah yang terhasil tidak lari daripada tema yang diberi. Oleh yang sedemikian, berusahalah untuk tidak berlengah dalam menyiapkan senikata kumpulan anda.

Setelah dirasakan kupasan yang dilakukan itu yang terbaik, maka sampailah kita ke tahap yang kedua.



Proses Penulisan

Ketika menulis, pastikan diteliti aspek:

1. Kepadatan

Teks yang ditulis seringkali harus menepati had masa yang ditetapkan bagi peringkat pertandingan yang berbeza. Ini wajib diambil kira supaya persembahan tersebut tidak mengambil masa yang terlebih panjang sehingga ia menjejas ritma persembahan, kerana ini boleh menyebabkan persembahan sesebuah kumpulan itu menjadi terlalu laju, atau terlalu singkat.


2. Kesinambungan

Teks yang ditulis perlulah ada kesinambungan dari satu bahagian ke satu bahagian yang lain. Ini menjelaskan mesej atau jalan cerita yang ingin disampaikan, agar tidak kelihatan bercelaru dan tangkap muat.


3. Aspek bahasa

Diharap butiran ini dapat disalin dan disimpan sebagai milik peribadi, kerana kemungkinan besar blog ini akan ditutup dua minggu selepas tamatnya Mega Perdana 2010.

Kekeliruan yang sering berlaku dapat dilihat apabila si penulis ingin menggunakan morfem terikat ataupun morfem bebas 'di'.

'di' terbahagi kepada dua - 'di' yang termasuk dalam kategori imbuhan, dan 'di' yang termasuk dalam golongan Kata Tugas.

Semuanya bergantung kepada perkataan yang mengikuti kata 'di' itu tadi.

Sekiranya ia diikuti dengan Kata Kerja, maka 'di' itu harus disambung dengan kata dasar kata kerja itu, dan terhasillah kata kerja pasif. Contohnya:

tendang - ditendang
makan - dimakan
baca - dibaca

Namun, sekiranya 'di' diikuti dengan kata dasar yang bukan Kata Kerja, maka ia harus dipisahkan. Contohnya:

sini - di sini
atas - di atas
rumah - di rumah
tepian mandi - di tepian mandi



Seterusnya, ingin diberitahu mengenai perbezaan fungsi 'dari' dan 'daripada'. Dalam menghuraikan isu ini, jalan yang paling mudah ialah menggandingkan 'dari' dengan ATM (bukan mesen mengeluarkan duit). ATM membawa maksud Arah, Tempat dan Masa. Contohnya:

dari tepi (tepi - arah)
dari atas (atas - arah)
dari rumah (rumah -tempat)
dari sekolah (sekolah - tempat)
dari tadi (tadi - masa)
dari semalam (semalam - masa)

Maka, pengklasifikasiannya ialah kata yang mengikuti 'dari' harus termasuk dalam golongan ATM. Apa sahaja yang tidak termasuk dalam golongan ini, harus menggunakan 'daripada'. Contohnya:

daripada ibunya
daripada penyakit
daripada kulit biawak


Seterusnya, harus diambil kira penggunaan 'ke' sebagai Kata Sendi. Sekiranya ia berlaku, 'ke' harus dipisahkan. Contohnya:

ke rumah
ke dalam
ke kedai
ke sudut hati


Namun, contoh-contoh penggunaan 'ke' bukan sebagai Kata Sendi termasuklah:

keempat
keenam
kedua / kedua-dua (ada perbezaan. kedua - second. kedua-dua - both)



Kata ganti nama diri orang pertama 'ku', orang kedua 'mu', dan orang ketiga 'nya', serta kata penguat 'lah' dan 'kah' tidak boleh berdiri sendiri. Ia harus digabungkan dengan kata yang wujud sebelumnya. 'ku' merupakan singkatan bagi aku, dan 'mu' merupakan singkatan bagi kamu. Oleh itu, ia tidak boleh berdiri sendiri. Contohnya:


diri mu - dirimu
rambut mu ikal mayang - rambutmu ikal mayang

buah hati ku - buah hatiku
manisan ku - manisanku
akan ku pujuk - akan kupujuk

kakak nya - kakaknya
milik nya - miliknya

aku lah raja - akulah raja
pulang lah sayang - pulanglah sayang

apa kah aku - apakah aku
bukan kah dusta - bukankah dusta


Nota:
Dalam mengaitkan lirik dengan Allah swt, kata itu harus menggunakan huruf besar, dan penggunaan 'nya' dan 'mu' harus bersempang juga. Contohnya:

kepadamu aku berserah - kepada-Mu aku berserah
aku hambamu - aku hamba-Mu

kembali kepadanya - kembali kepada-Nya
balasannya - balasan-Nya

yang maha agung - yang Maha Agung



Akhir sekali, bilakah kita perlu menggunakan satu 'k' dalam perkataan, dan bila pula perlu gunakan dua 'k'. Jawapannya harus melihat:

a) jenis imbuhan, dan
b) kata dasar


Imbuhan apitan yang digunakan ialah

meN .... kan (dan tidak ada imbuhan meN ... an)

keN ... an (dan tidak ada imbuhan keN ... kan)

peN ... an (dan tidak ada peN ... kan)


Apabila kita pasti akan ketiga-tiga jenis imbuhan apitan ini, kita rujuk pula kata dasarnya. Kalau kata dasarnya tidak ada 'k' di hujung, ia akan menjadi sebegini:

baca

membacakan (imbuhan meN ... kan)

pembacaan (imbuhan peN ... an)




Namun, kalau kata dasarnya ada huruf 'k' di hujung, ia akan menadi sebegini:




cantik

mencantikkan (sebab imbukan meN ... kan)

kecantikan (sebab imbuhan keN ... an)



Apabila sudah lengkap senikata yang diidamkan, sampailah kita ke tahap ketiga senikata kita.



Pasca Penulisan


Setelah kita melengkapkan penulisan kita, rehat buat seketika. Berikan naskhah anda itu kepada rakan anda, supaya berlakunya pembacaan pruf (proof reading). Ini dijalankan supaya sekiranya terdapat kesilapan bahasa, baik dari segi ejaan mahupun nahu, ia dapat diperbetulkan. Maklum sahaja, terkadang komputer kita mempunyai aplikasi yang membetulkan ejaan secara automatik, misalnya:

doktor (ditaip) - doctor (diperbetulkan)
lambang - lambing


Juga, harus diambil kira akan ejaan sebenar perkataan-perkataan berikut:

takhta (bukan tahta)
bapa (bukan bapak)
dibancuh (bukan dibancur)
pemangkin (bukan pemakin)


Licencia Poetica

Licencia Poetica (poetic license) membolehkan
kita menghasilkan corak penulisan yang
melanggar hukum nahu ketika berkarya.
Namun, harus diambil kira bahawa ini
bukanlah lesen untuk menggunakan kaedah
yang sebegitu sewenang-wenangnya. Lesen
itu diberi kelonggaran sekiranya penggunaannya
tepat, dan sesuai pada tempatnya. Misalnya,
dalam penggunaan perkataan 'bila' dalam ayat berikut.


Bila aku kenyit mata, engkau mula tunduk malu
Bila aku tanya nama, engkau senyum sipu-sipu


Bila merupakan kata tanya. Oleh yang sedemikian,
kita sepatutnya menggunakan kata hubung 'apabila'.
Namun, memandangkan corak karut kelantan ini
menampakkan corak perbualan lisan, maka pada
kes seumpama inilah licencia poetica boleh diaplikasi.
Namun, sekiranya kurang pasti, dan anda khuatir ia
bakal menjejaskan permarkahan, mungkin ia boleh
digantikan dengan perkataan 'tika' (ketika). Tinggalkan
perkara yang kamu was-was.



Akhir kalam, elakkan daripada penggunaan bahasa
Inggeris sedaya mampu.



Semoga segala maklumat yang saya beri ini dapat membantu setiap kumpulan yang ada di Singapura. Ibarat kata guru saya (Cikgu Ali):


Belajar dengan yang tahu,
Berkongsi dengan yang mahu.



Salam dikir,
Djohan Bin Abdul Rahman



PS

Penjualan tiket untuk peringkat akhir akan diumumkan secepat mungkin. Harap anda dapat mula mengumpul wang secepat mungkin. Kali ini, alasan "ingin bertemu Eddie" untuk masuk dewan dengan percuma tidak akan dilayan. Sekiranya ingin pihak Gabungan mengadakan pertandingan, kami juga memerlukan sokongan anda untuk membeli tiket, agar dana dapat disalurkan untuk menjayakan pertandingan ini.


Harap maklum.

:)